Pembuatan Jam Tangan Rolex
Di sebalik falsafah dan aktiviti Rolex, terkandung satu visi jangka panjang. Konsep kemampanan sentiasa menyokong pembangunan jenama: menawarkan jam tangan yang abadi dan tahan lama yang dibina untuk bertahan, sambil memberikan komitmen kepada generasi akan datang melalui pelbagai perkongsian, inisiatif dan tindakan.
Pendekatan ini mencerminkan falsafah “Perpetual” (Abadi) yang telah memacu syarikat sejak ditubuhkan. Falsafah yang mengumpulkan ramai tenaga mahir dan menuntut kerja keras, hari demi hari, tahun demi tahun. Satu usaha yang mencabar dan teliti. Usaha Rolex yang tanpa henti demi memburu kecemerlangan.
Visi asal Hans Wilsdorf
Sejak tahun 1905, Rolex telah mengekalkan visi asal pengasas, Hans Wilsdorf, yang melihat jam tangan sebagai objek masa depan yang melambangkan era moden. Hans Wilsdorf merevolusikan dunia pembuatan jam dengan mengatasi tiga cabaran utama: menghasilkan gerakan kecil namun tepat, membangunkan penutup yang teguh dan kalis air untuk melindungi gerakan daripada faktor luaran, dan akhir sekali, memasang jam tangan dengan sistem putaran automatik yang akan lebih memudahkan pemakai pada setiap hari.
Nilai-nilai utama Pengeluar Rolex
Setiap jam tangan Rolex direka, dihasilkan dan diuji dengan sentiasa menitikberatkan segala perincian. Pendekatan ‘superlatif’ ini ditunjukkan melalui beberapa kualiti asas yang mencirikan setiap jam tangan Rolex: ketepatan, kekalisan air, autonomi, keteguhan, kesederhanaan, ketukangan, keselesaan dan ketahanan. Prinsip teknikal dan estetik utama ini sentiasa menjadi panduan Pengeluar Rolex. Mereka menjanjikan pengalaman jam tangan yang luar biasa kepada pemakai dengan ciri-ciri yang mempamerkan kepakaran yang unik.
Pendekatan superlatif dalam pembuatan jam tangan
Pada permukaan jam tangan Rolex, terukir perkataan ‘Superlative’. Tanda ini mengesahkan bahawa setiap jam tangan yang meninggalkan bengkel Pengeluar telah melepasi siri ujian yang amat ketat yang dijalankan oleh Rolex di makmal sendiri, mengikut kriteria khusus yang tersendiri. Ujian ini bukan sahaja dijalankan terhadap kaliber, malah pada jam tangan yang siap dipasang dengan penutup demi menjamin prestasi superlatif pada pergelangan tangan dari segi ketepatan kronometri, kekalisan air, putaran automatik dan rizab kuasa.
Bukan sekadar pensijilan, ia melambangkan nilai
Kesimpulannya, semua komponen jam tangan Rolex boleh digambarkan sebagai ‘superlatif’. Malah, setiap komponen wajib menjalani pemeriksaan yang berterusan dan ketat, daripada reka bentuk kepada pemasangan akhir. Oleh itu, istilah ‘superlatif’ tidak sekadar merujuk kepada pensijilan kronometri. Perkataan ini mengungkapkan nilai yang meresapi setiap jabatan dalam syarikat dan mendorong setiap individu yang bekerja di Rolex, tanpa mengira jawatan mereka.
Mencipta inovasi
Prestasi unggul dicapai melalui usaha industri dan manusia yang berterusan berdasarkan penemuan dan perkara yang telah dipelajari di samping sentiasa menambah baik teknik, alatan dan ujian. Budaya inovasi sudah sebati dengan jenama ini. Hal ini terbukti dengan lebih 600 permohonan paten yang difailkan oleh Rolex sejak ditubuhkan.
Menyepadukan semua bidang kepakaran
Dengan menyepadukan semua bidang kepakaran pembuatan jam dalam gerak kerja Pengeluar secara berperingkat, Rolex dapat melaksanakan peraturan yang tersendiri dan meneruskan usaha untuk memburu kecemerlangan. Pilihan autonomi ini telah membentuk identiti jenama yang menyatukan tradisi ketukangan halus dengan teknologi canggih. Maka, lahirlah empat tapak pengeluaran yang terletak di Switzerland dengan seramai lebih daripada 9,000 pekerja.