menu
logo
rolex-plague-logo
Menu
New Watches Land-Dweller-ro42141
Jam tangan baharu 2025

Rolex Land-Dweller Membuka ufuk baharu

Rolex memulakan lembaran sejarah baharu dengan Oyster Perpetual LandDweller. Jam tangan paling kontemporari ini mewakili kemuncak kepakaran jenama hari ini, hasil pengalaman lebih daripada satu abad dalam pembuatan jam tangan. LandDweller direka untuk insan yang membina nasib mereka sendiri dan merebut peluang dalam setiap detik.

Rolex melancarkan Oyster Perpetual Land-Dweller, jam tangan baharu yang menampilkan estetika berani dan teknologi canggih.

Ditawarkan dalam dua saiz, 36 mm dan 40 mm, model ini mempamerkan kecemerlangan pembuatan jam tangan Rolex dan telah direka bentuk untuk memberikan prestasi superlatif dalam semua keadaan.

New Watches Land-Dweller-ro298c1

Tidak kurang daripada 32 permohonan paten dibuat untuk Land-Dweller; 18 permohonan adalah eksklusif untuk jam tangan ini dan 16 permohonan melibatkan gerakan. Ini ialah bukti semangat perintis yang mendorong Rolex dan merupakan teman yang sesuai untuk setiap majlis.


Land-Dweller menggarap semula reka bentuk jam tangan yang rumit dan mencabar dengan rantai bersepadu. Jam ini dilengkapi dengan rantai logam serba baharu – Jubli rata– yang bercantum secara selanjar dengan penutup Oyster. Land-Dweller menggunakan penutup Oyster yang telah digayakan semula secara khusus. Bezel berjejalur atau bertatahkan berlian mempamerkan perincian halus permukaan dengan motif sarang lebah.

New Watches Land-Dweller-roc73e1

Di tengah-tengah Land-Dweller, kaliber 7135 berdetik. Gerakan canggih yang terhasil daripada penyelidikan horologi ini menonjol kerana berdetik pada frekuensi 5 Hertz. Lebih nipis daripada kebanyakan gerakan Rolex, kaliber ini menawarkan prestasi yang luar biasa. Di sebalik prestasi unggul ini, terdapat sistem pengawalan yang terdiri daripada bolosan Dynapulse inovatif dan pengayun tercanggih.

New Watches Land-Dweller-rod8ff1

Jam tangan pertama yang dipaparkan ialah Land-Dweller 40 dalam versi Rolesor putih (menggabungkan Oystersteel dan emas putih). Terdapat bezel berjejalur dan permukaan putih terang dengan motif sarang lebah. Yang kedua, Land-Dweller 36, diperbuat daripada emas Everose 18 karat. Permukaan adalah serupa dan dikelilingi oleh bezel yang berkilauan dengan 44 berlian potongan trapezium. Diperbuat daripada platinum 950, versi ketiga ialah Land-Dweller 40 dengan bezel berjejalur dan permukaan biru ais – warna yang dikhaskan untuk jam tangan yang diperbuat daripada logam berprestij ini – yang turut dihiasi dengan motif sarang lebah.

New Watches Land-Dweller-ro8bc01
New Watches Land-Dweller-roa13c1

Membentuk masa depan dengan berani

Berani dan berpandangan jauh, Land-Dweller mentakrifkan semula parameter kesempurnaan pembuatan jam tangan menurut Rolex. Ia merangkumi hasrat untuk menghayati masa kini sambil membentuk masa depan. Ia membawa mesej yang ringkas tetapi berkesan: bersatu dengan masa dan tempat anda untuk membina masa depan. Jam tangan ini juga menunjukkan keupayaan jenama untuk sentiasa mengasah kepakarannya.

New Watches Land-Dweller-ro79a01

Permukaan dengan motif sarang lebah dan paparan eksklusif

Permukaan Land-Dweller dihiasi dengan motif sarang lebah, corak grafik yang menarik yang telah digarap semula oleh Rolex dengan gaya sel yang halus. Garapannya memerlukan ketukangan tradisional dan kaedah teknologi tinggi yang dikuasai secara dalaman. Teknik yang memakan masa digunakan untuk kemasan permukaan: kemasan satin halus untuk permukaan putih terang dan kemasan sinar matahari pada versi biru ais. Struktur sarang lebah dipotong dengan laser femtosecond, yang juga digunakan untuk mengukir garisan halus di dalam alur di antara setiap sel.


Elemen paparan pada Land-Dweller adalah eksklusif untuk jam tangan baharu itu. Angka 6 dan 9 yang diilhamkan oleh model Explorer dan Air-King, adalah unik kerana terbuka di bahagian tengah, yang memberikan sentuhan moden. Pada penanda jam indeks, bahan pendarkilau menambahkan panjang penuh komponen. Reka bentuk baharu ini lahir daripada proses pembuatan inovasi yang telah difailkan permohonan paten dan penggunaan bahan yang lebih kukuh daripada bahan yang biasa digunakan oleh Rolex tetapi memberikan prestasi pendarkilau, warna cahaya dan rona yang sama pada waktu siang. Jarum yang tersendiri yang dicipta khas untuk jam tangan ini, bersifat sangat lurus linear.

New Watches Land-Dweller-rof3541
New Watches Land-Dweller-rolex-4-27

Rantai Jubilee rata

Direka khas untuk jam Land-Dweller, rantai Jubilee rata ialah garapan semula rantai Jubilee yang ikonik, yang diperkenalkan semasa pelancaran Datejust pada 1945. Walaupun mengekalkan struktur pautan lima keping yang sama dengan tiga pautan yang lebih sempit di tengah-tengah yang diapit oleh dua pautan yang lebih luas di bahagian tepi, rantai baharu berbeza kerana semua pautan adalah rata. Selain itu, pautan tengah pada rantai baharu ini digilap dan terangkat sedikit daripada pautan luar. Pautan yang terangkat sedikit mempamerkan kemasan satin teknikal kecuali bahagian tepi yang digilap.


Sistem pemasangan yang teguh dan tahan lama juga telah direka untuk memastikan keseragaman yang selanjar bagi rantai Jubilee rata dengan penutup Oyster. Pemasangan yang rumit dan asli ini menjadi subjek permohonan paten. Terdapat juga sisipan seramik. Untuk kali pertama, tiub kecil yang dipatenkan ini dibangunkan oleh Rolex untuk mencegah haus terlalu awal dan melindungi bar pegas, iaitu pin logam yang mengetatkan rantai pada penutup tengah.


Selesa dan lembut pada pergelangan tangan, Jubilee rata dilengkapi dengan Crownclasp lipat yang elegan dan terlindung, yang memberikan rupa jam tangan yang selanjar. Pada versi emas Everose 18 karat dan platinum 950, rantai ini mengandungi sisipan seramik di dalam pautan.

New Watches Land-Dweller-rof9781

Penutup Oyster khas

Land-Dweller dilengkapi dengan penutup Oyster yang telah dibangunkan khas untuk model tersebut. Dalam penggayaan semula penutup, sistem kalis air di sekeliling kristal telah diubah suai kerana kekangan membuat kemasan satin teknikal pada bahagian atas penutup tengah.


Sisi melengkung dan digilap pada penutup baharu ini dipotong serong dan bevel di sepanjang tepi atas juga digilap. Penutup ini dipasang dengan penutup belakang nilam yang memperlihatkan keindahan estetik gerakan, kemudian diletakkan bezel berjejalur yang telah direka bentuk semula dengan rupa kontemporari yang jelas serta jejalur yang lebih lebar berbanding dengan model Klasik yang lain. Dijamin kalis air hingga kedalaman 100 meter (330 kaki), penutup Oyster memberikan perlindungan optimum untuk gerakan yang terletak di bahagian dalam.

New Watches Land-Dweller-rolex-3-35
New Watches Land-Dweller-rolex-2-32

Kaliber 7135, gerakan frekuensi tinggi

Land-Dweller digerakkan oleh kaliber 7135, sebuah gerakan yang dibangunkan sepenuhnya dan dihasilkan oleh Rolex serta dikeluarkan pada tahun ini. Evolusi kaliber 7140 yang melengkapi model 1908 sejak dilancarkan pada 2023 merupakan gerakan mekanikal automatik baharu yang mempamerkan prestasi cemerlang terutamanya dari segi ketepatan, rizab kuasa, kemudahan dan kebolehpercayaan.


Didorong oleh sistem putaran automatik melalui Rotor Perpetual, kaliber 7135 amat menonjol kerana mekanisme pengawalan revolusioner – bolosan dan pengayun – yang membolehkan kaliber berdetik pada frekuensi 5 Hz, atau 36,000 detik sejam, lantas membolehkan masa dihitung hingga sepersepuluh saat. Lantaran seni bina barel dan kecekapan pelepas yang cemerlang, rizab kuasa gerakan ini mampu bertahan hingga kira-kira 66 jam. Ketelitian yang baik terhadap perincian telah menghasilkan kaliber 7135 yang indah. Titi dihiasi dengan Rolex Côtes de Genève, manakala pemberat pengayun kerawang diperbuat daripada emas kuning.

New Watches Land-Dweller-rocb631

Bolosan Dynapulse

Untuk bolosan Dynapulse yang sangat cekap tenaga – komponen pertama sistem pengawalan – tujuh permohonan paten telah difailkan. Bolosan baharu ini meningkatkan cara tenaga dihantar oleh barel kepada pengayun dengan ketara.


Dynapulse ialah bolosan pengagihan berurutan yang diperbuat daripada silikon, bahan yang tahan terhadap medan magnet yang kuat. Komponen ini terdiri daripada roda transmisi yang berinteraksi dengan dua roda pengagihan yang seterusnya mengaktifkan pengayun impuls yang kemudiannya bersambung dengan pengayun. Seni bina yang inovatif ini mengurangkan penggunaan tenaga bolosan kerana pelbagai komponen berinteraksi secara bergolek antara satu sama lain, bukannya dengan menggelongsor sepertimana bolosan tuil Switzerland yang digunakan dalam gerakan mekanikal Rolex yang lain.

New Watches Land-Dweller-ro0fa41

Pengayun

Pengayun, satu lagi komponen penting dalam sistem pengawalan kaliber 7135, juga mempamerkan rintangan yang sangat baik terhadap medan magnet yang kuat. Beberapa inovasi telah memungkinkan keupayaan ini.


Satu daripada inovasi itu ialah batang imbang yang dihasilkan daripada seramik berteknologi tinggi, dipatenkan dan eksklusif untuk Rolex. Bahan ini sangat kuat dan utuh serta digunakan hanya untuk pembuatan batang imbang.


Roda imbang itu sendiri diperbuat daripada loyang teroptimum. Ini ialah kali pertama Rolex menggunakan aloi sedemikian, yang sama seperti seramik, tahan terhadap medan magnet yang kuat.


Kaliber 7135 menggabungkan pegas rambut Syloxi dengan gegelung yang dibentuk semula, yang kini lebih tebal untuk meningkatkan ketegapan. Pengubahsuaian ini memantapkan kuasa pegas rambut silikon yang dipatenkan – faktor penting yang membolehkan gerakan berdetik pada frekuensi 5 Hz. Kadar ini membolehkan jam tangan mengekalkan ketepatan kronometri tanpa mengira aksi dan pergerakan tangan si pemakai.


Dua penyerap kejutan Paraflex teroptimum berprestasi tinggi melindungi batang imbang seramik. Seni bina dalaman khas penyerap ini membolehkan batang imbang berpusing dengan lancar dan kerap dalam sebarang kedudukan.

New Watches Land-Dweller-ro8fb51
New Watches Land-Dweller-rolex-1-22

Pensijilan Kronometer Superlatif

Seperti semua jam tangan Rolex, Oyster Perpetual Land-Dweller 40 dan Oyster Perpetual Land-Dweller 36 dilindungi oleh pensijilan Kronometer Superlatif yang ditakrifkan semula oleh Rolex pada 2015. Perakuan ini mengesahkan bahawa setiap jam tangan yang meninggalkan tapak jenama ini telah berjaya menjalani satu siri ujian oleh Rolex yang dilakukan dalam makmal mereka berdasarkan kriteria mereka sendiri, berikutan perakuan rasmi gerakan oleh Institut Pengujian Kronometer Rasmi Switzerland (COSC). Ujian pensijilan dalaman ini dilakukan ke atas jam tangan yang dipasang sepenuhnya, selepas gerakan dimasukkan ke dalam penutup bagi menjamin prestasi luar biasa pada pergelangan tangan dari segi ketepatan, rizab kuasa, kalis air dan sistem putaran automatik. Ketepatan Kronometer Superlatif Rolex adalah urutan −2/+2 saat sehari – penyimpangan kadar yang ditoleransi oleh jenama untuk jam tangan yang telah siap jauh lebih kecil daripada yang diterima oleh COSC untuk perakuan rasmi gerakan itu sahaja.


Status Kronometer Superlatif dilambangkan oleh meterai hijau yang disertakan dengan setiap jam tangan Rolex berserta jaminan antarabangsa selama lima tahun.

rolex crown
arrowKembali ke atas
1999 - 2025 © The Hour Glass Limited. Hak cipta terpelihara.
FacebookInstagramLinkedInYoutube